Saturday, March 13, 2010

Kedudukan Badan Semasa Menunggang Kuda


Perkara pertama yang perlu diberi perhatian semasa menunggang kuda ialah penunggang perlu memastikan panjang tali pemijak kaki bersesuaian dengan keselesaan penunggang. Cara yang tepat mengukur kesesuaian panjang tali pemijak kaki ini ialah dengan mengukurnya di bawah lengan. Jika bahagian bawah mencapai besi pemijak berada tepat di bawah lengan maka panjang tali ini dikira sesuai digunakann semasa menunggang.

Semasa penunggang berada di atas kuda kedudukan penunggang perlulah duduk dan menegakkan badan. Ini bagi membantu kuda menetapkan keseimbangan dirinya dan bergerak dengan selesa. Sekiranya kedudukan penunggang tidak berada dalam posisi yang betul pergerakan kuda mungkin terjejas dan tidak lancar kerana cuba memastikan penunggang tidak terjatuh.



Bahagian tubuh penunggang dari pinggang ke atas perlu sentiasa tegak tetapi sentiasa fleksibal dengan pergerakan semasa menunggang. Pada masa yang sama wajah penunggang perlu sentiasa memandang ke hadapan dan penglihatan penunggang perlu sentiasa di atas kepala kuda. Ini penting bagi memastikan kestabilan dan graviti penunggang sentiasa seimbang. Jika penunggang sering memandang ke bahagian bawah ini boleh menyebabkan penunggang hilang keseimbangan dan terjatuh semasa menunggang kuda. Kedudukan kepala, siku dan tumit perlu berada dalam satu garis lurus sepanjang masa seperti gambar yang disertakan.

Semasa menunggang bahu perlu berada dalam keadaan rehat dan hanya bahagian siku dan lengan penunggang sahaja yang fleksibal mengikut pergerakan tali kekang. Bahagian siku dan lengan perlu sentiasa memainkan peranan aktif mengikut situasi kuda. Tali kekang yang ditarik dengan tegang boleh menghentikan pergerakan kuda dan tali kekang yang dipegang secara longgar menyebabkan kuda terasa bebas dan berlari dengan pantas. Penunggang perlu peka dengan perubahan kuda dan tali kekang yang dipegang.

Dalam mengekalkan kedudukan yang betul seperti ini memerlukan latihan yang berulang-ulang dan penunggang akan mendapat keseronokan semasa menjalani latihan ini. Gaya menunggang yang betul menyebabkan kuda akan memberikan kerjasama yang baik semasa menunggang.

1 comment:

  1. waaaaaaa , saya teringin sangat nak belajar menunggang kuda :'( baca artikel2 pasal kuda jer saya teringin2 sngat nak menunggang kuda . huhuhu :( saya arap suatu ari nnti saya akan dapat menunggang kuda :D

    ReplyDelete